Thursday, June 10, 2010

DANGKALNYA KASIHMU

“Argh……!” hanya bunyi erangan kesakitan itu yang mampu menggambarkan kesakitan yang dirasai oleh Pak Ngah selepas pembedahan semalam. Kaki kiri Pak Ngah terpaksa dipotong sehingga ke paras lutut kerana penyakit kencing manis yang dialaminya. Wajah tua itu benar-benar kelihatan muram dan suram. Penyakit yang dialaminya membuatkan lelaki yang berusia 53 tahun itu kelihatan lebih tua daripada usianya yang sebenar. Kulit ditubuhnya begitu kering dan mulai berwarna kekuningan seperti semua darahnya telah disedut keluar. Tubuh yang suatu masa dulu begitu gagah memburu penjenayah, kini hanya mampu terlantar di atas katil hospital dengan wayar yang berselirat di tubuhnya.



“Assalammualaikum, Pak Ngah. Sya, mama dengan abah datang ni” aku cuba mencapai sepasang tangan milik Pak Ngah untuk bersalaman dengannya setelah bersalaman dengan Mak Cik Zainab.



”Sya...?” wajah Pak Ngah kelihatan sedikit berkerut. Barangkali cuba mencari kembali memori diriku yang bertaburan dalam ingatannya. Maklumlahlah, Pak Ngah hanya bergantung dengan ingatan dan pendengarannya bagi mengenali seseorang kerana deria penglihatannya telah hilang sejak 10 tahun yang lalu akibat katarak mata. Pak Ngah dan Mak Cik Zainab telah menikah sejak 10 tahun yang lalu semenjak kepulangan Mak Ngah ke ramatullah akibat kanser servik.

*********************************************************************************



”Kau nak pergi mana Haizi?” soal Huzaini kepada putera sulungnya.Tangan Haizi pantas mencapai pakaiannya di dalam almari untuk disumbatkan ke dalam bagasi Polo miliknya. Hatinya mudanya benar-benar membara saat itu.



”Haizi nak keluar dari rumah ni abah. Abah pilih antara perempuan tu atau pun anak-anak abah. Kalau abah pilih perempuan tu Haizi keluar dari sini.” bicara Haizi dengan penuh amarah. Perasaan Huzaini saat itu benar-benar berbelah bahagi. Andai dia memilih anak-anaknya, di manakah harus dia letakkan Zainab, isterinya yang baru dinikahi? Tetapi dia tidak sanggup kehilangan anak-anaknya.



Pelbagai soalan bermain di dalam fikiran Huzaini. Marahkah anak-anaknya kerana menikahi wanita lain yang mungkin difikirkan cuba merampas tempat istimewa milik ibu mereka dahulu? Salahkah dirinya kerana mencari insan lain untuk mengisi kekosongan hati dan hidupnya yang telah ditinggalkan oleh Atiqah semenjak pulang ke rahmatullah? Apa yang diimpikan oleh jiwa Huzaini hanya mengharapkan segalaya akan kembali hidup bahagia.



“Along! Along! Along!...tolong jangan tinggalkan angah dengan adik.” rayu Hazrul sambil cuba mencapai tangan Haizi yang sedang memegang bagasinya. Hani yang berusia 12 tahun itu hanya berdiri di suatu sudut ruang tamu rumah pangsa polis itu. Hani hanya mampu melihat drama yang berlansung di hadapan matanya sambil menangis.



“Biarkan saja si Haizi tu pergi kalau itu yang dia nak” tiba-tiba Zainab bersuara setelah lama mendiamkan diri melihat lakonan antara anak dan bapa itu. Setelah mendengar kata-kata ibu tirinya itu, Haizi segera berlalu pergi tanpa menoleh kebelakang lagi. Bukan kerana dia tidak menyayangi adik-adiknya tetapi ego mudanya benar-benar tercabar ditambahkan lagi dengan kebenciannya yang meluap-luap buat wanita yang dirasakan telah merampaskan tempat teristimewa ibunya. Hazrul dan Hani memandang ayah mereka dan mengharapkan agar Huzaini akan menghalang Haizi meninggalkan rumah. Namun, Huzaini hanya mampu menundukkan kepalanya ke bumi, dia bagaikan telah mati kutu dan tersepit di antara segala gelora yang melanda saat itu.



Setelah meninggalkan rumah tersebut kehidupan Haizi semakin tidak teratur. Namun, dia tetap perlu meneruskan hidupnya yang masih muda. Dia cuba mencari kerja tetapi kerja yang mampu dilakukannya tidaklah sehebat mana kerana dia tidak mempunyai kelulusan yang benar-benar hebat untuk bersaing di dalam dunia global ini. Segalannya memerlukan kemahiran, kelulusan tinggi dan kepakaran yang profesional seandainya ingin bekerja dengan gaji yang tinggi. Bukan dia tidak mampu untuk mendapatkan kerja-kerja yang bergaji lumayan dalam hidupnya.



Namun itu semua adalah silap hidupnya dahulu kerana berhenti daripada melanjutkan pelajaran di sekolah sains berasrama penuh sedang dia merupakan seorang pelajar yang cemerlang. Jika tidak pastinya sekarang dia sedang melanjutkan pelajarannya di pusat-pusat pengajian tinggi awam di Malaysia dan hanya menunggu saat untuk bergraduat. Tambahan pula usianya baru mencapai 20 tahun dan masih muda pastinya tidak akan mampu meraih kepercayaan untuk orang lain untuk melakukan tugas-tugas yang penuh risiko.

*********************************************************************************

Tetapi itu semua adalah kisah yang telah berlaku 10 tahun yang lalu. Bukankah seharusnya dendam itu telah mencapai titik noktahnya. Aku hanya menuruti Mak Cik Zainab, mama dan abah memasuki lif hospital untuk menuju je tempat Pak Ngah menjalani proses dialisis. Penyakit buah pinggangnya semakin parah ditambahkan pula oleh sakit kencing manis yang dialaminya. Saat pintu lif terbuka dan aku melihat sekumpulan anak-anak muda berserta sepasang suami isteri yang telah berusia. Mereka adalah sepupu-sepupuku yang datang bersama pasangan masing-masing. Mereka berpakaian seperti manusia moden yang sudah tidak lagi mempunyai nilai-nilai ketimuran. Mak Cik Zainab hanya berlalu melepasi mereka. Tiada pun tanda-tanda mereka akan bertegur sapa.



Setibanya di sana aku hanya memerhati dari jauh proses dialisis yang dijalani oleh Pak Ngah. Andainya aku yang berada ditempatnya pastinya aku dapat merasai kesakitan yang dialami. Di tangan kanan Pak Ngah dapat kulihat banyak kesan jarum yang telah berubah menjadi parut. Parut yang kekal di badannya. Aku tahu suatu masa nanti pada saat usiaku telah lanjut pastinya aku juga akan turut melalui pengalaman yang sama. Namun, jika diizinkan Allah s.w.t, aku memohon moga aku tidak akan melaluinya.



“Bukankah lebih baik kalau Huzaini dijaga oleh anak-anaknya? Anak-anak boleh membantu di rumah pangsa polis tu” bicara seorang lelaki tua yang dipanggil Pak Muda oleh sepupuku. Sepengetahuan aku rumah pangsa polis itu sudah lama tidak didiami oleh Pak Ngah kerana Pak Ngah duduk bersama Mak Cik Zainab di rumah teres yang berhampiran rumah pangsa tersebut. Aku seakan-akan terhidu niat baik yang hanya berlandaskan kewujudan harta. Pak Muda dan isterinya Mak Limah bertindak seakan-akan menjadi batu api kepada anak beranak yang sememangnya telah mempunyai sengketa. Mereka anak-beranak saling bertelingkah dan berhujah sesama sendiri di hadapan Pak Ngah yang sedang menjalani dialisis dengan alasan untu untuk menjaga Pak Ngah. Akal aku merasakan tindakan mereka ini benar-benar tidak waras dan tidak relevan sama sekali kerana mereka hanya menambahkan tekanan kepada Pak Ngah yang sedang sakit.



Mama cuba bertindak untuk menjadi orang tengah supaya meredakan keadaan yang tegang. Manakala abah pula hanya duduk di atas pagar dan memerhati keadaan yang terjadi. Aku sememangnya maklum bahawa abah memang tidak begitu gemar untuk mencampuri urusan hidup orang lain.



“Cik Milah...Lisa bukan nak apa-apa. Lisa cuma nak abah merasa kasih sayang anak-anak. Lagipun dah lama abah terpisah dengan anak-anaknya” bicara menantu pertama Pak Ngah pada mamaku dengan keadaan yang tersedu-sedan dan berlinangan air mata.



Entah kenapa hati aku meragui keikhlasan air mata ku. Benarkah air mata itu benar-benar ikhlas untuk menyatukan kasih seorang ayah dengan anak-anaknya atau tersembunyi niat yang lain. Mungkin kerana aku juga seorang pelakon teater saat berada di universiti maka aku juga turut dapat membezakan lakonan yang benar-benar datang dari hati atau sekadar luaran bagi mengaburi pandangan manusia biasa. Jam telah menginjak kepada pukul 2.30 petang. Mama dan abah meminta diri untuk pulang. Setelah bersalaman dengan Pak Ngah dan semua yang berada di situ, aku berlalu menuruti langkah orang tuaku menuju ke kereta. Hampir 3 jam kami berada di situ, bukan berniat untuk meninggalkan Pak Ngah tetapi aku mempunyai adik-adik yang perlu diuruskan di rumah.

**********************************************************************************

Insiden yang berlaku pada hari itu benar-benar tersimpan dalam kotak memoriku. Memang benarlah kerana ego manusia akan rosak. Ketamakan pada harta menyebabkan manusia sanggup meninggalkan ibu bapa sendiri walaupun mereka sedang berada dalam keuzuran. Harta menyebabkan manusia hilang kewarasan akal dan tetap berusaha untuk memilikinya. Apabila dikuasai ketamakan dunia maka manusia tidak akan pernah puas memilikinya. Baginya segala yang dimiliki itu masih tidak mencukupi walaupun telah mendapat segunung intan dan selautan emas.



Bagi aku mungkin anak-anak Pak Ngah hanya akan menyedari betapa berharganya ayah mereka setelah ayah itu hanya menjadi jasad yang kaku di dalam tanah. Pada saat itu, pastinya tiada lagi sentuhan hangat seorang ayah kepada anak-anaknya. Tidak akan ada lagi insan yang memberi kata-kata semangat di saat kejatuhan. Tidak akan ada lagi pandangan mata yang redup milik seorang lelaki yang bergelar ayah kerana ketika itu rohnya telah pun pergi meninggalkan jasad dan hanya jantung yang sejuk tanpa degupan itu menjadi peneman jasad yang semakin reput. Aku berdoa semoga mereka tidak terlambat untuk melakukan segalanya.

**********************************************************************************
TAMAT
 
P/s: Sebarang komen dan cadangan untuk membaik pulih cerpen ini supaya lebih relevan dan menarik serta realistik adalah dialu-alukan dengan hati yang terbuka. Saya mengharapkan kerjasama anda dan terima kasih =) kerana saya adalah penulis baru yang baru mula berjinak-jinak dengan dunia penulisan.\

2 comments:

  1. caya la babe
    ko mmg berbakat:D
    a good start dear
    keep on
    ak xsmpat bace btol
    later ak bace
    then ak komen ap yg patot:D

    ReplyDelete
  2. arigato gozaimas la dear.....nnt if ada apa2 yg ko rasa wajar untuk diperbetulkn siler britau tau budak bru belajar nie....

    ReplyDelete

You might also like:

Related Posts with Thumbnails